Thursday, 10 November 2016

REALITI IBU BAPA HARI INI: ANAKKU SAZALI

Tentu kawan-kawan pernah menonton filem karya Tan Sri P. Ramlee yang berjudul “Anakku Sazali”. Apabila saya menyebut tajuk filem ini, apakah perkara yang terlintas di benak fikiran kawan-kawan? Ya, tak lain dan tak bukan tentang pendidikan anak-anak.

Mari kita lanjutkan perbincangan kita, sikap anak-anak sebenarnya bergantung kepada kita. Kita yang mencorakkan sikap anak-anak. Bukan orang lain. Seperti sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis baginda:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : «ما من مولود إلا يولد على الفطرة، فأبواه يهودانه وينصرانه ويمجسانه

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam bersabda: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi.
(Sahih Muslim, juzuk 4, muka surat 2047, hadis no. 2658/ Sahih Bukhari, juzuk 2, muka surat 94, hadis no. 1358/ Sunan Abu Daud, juzuk 4, muka surat 229, hadis no. 4714-riwayat yang lain-)


Benar, pendidikan awal kanak-kanak bermula dari rumah. Baik kita balik kepada filem “Anakku Sazali”. P. Ramlee menunjukkan bahawa telah wujud ibu bapa yang sangat memanjakan anak-anak lebih daripada sepatutnya. Sehingga anak-anak berani menipu.

Dan kini perkara yang dikhuatiri oleh Tan Sri P. Ramlee telah terjadi. Iaitu guru-guru dipersalahkan atas kesalahan mendenda dan memarahi anak murid. Dalam filem ni, perbuatan Sazali disokong oleh ayahnya. Dan sazali tidak dimarahi ayahnya kerana ponteng sekolah. Dia berkata memang kena pada tempatnya Sazali ponteng sekolah!!! Menyokong perbuatan salah anak-anak dengan menghambur segala kesalahan kepada guru-guru. Saya berani katakan, jika anak-anak tak dididik dengan tegas, kelak mereka akan menjadi SAMPAH di tepian jalan. Jangan menyesal apabila perkara itu terjadi.

Kerana kecuaian ibu bapa, anak-anak menjadi raja, guru-guru menjadi hamba. SUNGGUH SAYA KECEWA DENGAN PERANGAI SEGELINTIR IBUBAPA YANG MEMENTINGKAN DIRI DAN TAK HORMAT GURU-GURU. Jangan mengharapkan terjumpa mutiara jika kita menghasilkan sampah di lautan. Jangan mengharap anak yang baik andai anak tak dididik dengan baik.

Sebelum aku meminta diri, ingin aku tulis dialog yang paling best dalam filem “Anakku Sazali”:
“Bapak yang bersalah dalam soal ini, bapak membesarkan Sazali dengan secara membabi buta saja, segala apa kemahuan Sazali bapak tunaikan. Segala apa hajat Sazali, bapak sempurnakan, sehingga Sazali pandai cakap bohong sama bapa. Sehingga Sazali menipu bapak. Menipu untuk kepentingan diri.
Tetapi bapak hanya, “ANAKKU SAZALI”. Bapak yang bertanggungjawab atas segala kelakuan buruk dan baik Sazali.”

Semoga kita dapat manfaat daripada tulisan ini. Maaf sebab tulisan yang agak serius. Assalamualaikum.

Saturday, 15 October 2016

MAKHLUK KUNING

Aku nak cerita sikit kisah aku dengan makluk kuning ni. Benda ni jadi masa aku kecik. Masa sekolah rendah. Ada satu hari tu, satu tengah hari atau petang yang agak damai, cuaca yang suam-suam kuku, haha. Aku dok layan perasaan depan rumah. Tiba-tiba ada makhluk kuning melintas depan aku. Kecik ja makhluk tu. Geram pulak aku. Cangak lagi, terus aku ligan. Nampak berani kan?hahaha. Anak itik sebenaqnya makhluk kuning ni. Ligan punya ligan, dapat. Happy betoi aku masa tu toksah dok cerita la. First time pegang anak itik. Haha. Bila dah dapat aku pun teringin nak bela tapi ayah aku kata mesti ada tuan. Jadi, aku pun pi la cari tuan dia kat dalam kampung aku, pi dekat-dekat ja sebab anak itik mesti jalan dekat-dekat ja, mana nak larat jalan jauh-jauh, haha.

So aku decide la nak bela. Tapi nampak sekoq dia kesian pulak. Mesti sunyi. Kan? sebab Tuhan jadikan kita lelaki dan perempuan dan berpuak-puak untuk kita berkenal-kenalan, berkawan dan bukan bermusuhan (tazkirah sikit, hehe). Ayah aku bawak aku pi kedai nak pi cari pasangan hidup kat itik aku, bukan pasangan la, kawan sebab aku beli sekoq betina sekoq jantan. Itik muskovi (aku pun tak tau eja dia betoi ka dak). Kedai tu la kata. Aku percaya la. Haha. Aku bela sampai besaq. Fuh dia bila dia besaq dia jadi gemuk. Nak terbang pun tak boleh. Hahaha. Itik muskovi/itik nila ni boleh terbang. Jauh jugak la dia boleh terbang. Boleh acah-acah usha kampung. Haha. Yang sepasang lagi pun dah besaq. So aku nak tambah koleksi itik aku, aku beli lagi itik nila kat orang dengan dua ekoq itik teloq. Itik teloq ni habuan nak makan teloq dia ja. Haha.

Bila dah besaq, dia pun berteloq ngan ram teloq dia. Sory aku tak tau "ram" dalam bahasa baku sebut macam mana. "Mengeram" kot, tapi rasa lain macam pulak sebut mengeram. Hahahaha. Banyak la itik aku. Seronok aku. Time anak-anak itik tu kecik aku suka tengok dia berenang. Cute gilaaaaaa. Hahahahahhaahaha. Sory. Aku ligan anak-anak itik tu, arrgghhhh. Kenangan. La ni tak dak dah itik sebab juai sebelum aku masuk asrama.

Sebelum masuk asrama, form 1, ayah aku nak juai semua itik aku, sebab takdak orang nak jaga, tak dak orang nak bagi makan. Ayah aku beli makan, aku bagi depa makan. Bau lau(reban) dia busuk. Tapi aku tak kesah. Kalau aku terbau busuk kat mana-mana macam lau itik aku teringat kat itik-itik aku. Sambung balik part itik aku kena juai. Tegheyak tu toksah dok kata la. Memang sedih tahap apa dah. Tapi ayah aku tinggai sekoq itik kesayangan aku. Tak juai yang tu. Tau dak sebab apa? Nak makan. Hahahaha. Time sembelih tu aku balaih tegheyak sekali lagi. Hahaha. Ayah aku kata, benda yang kita sayang, kita bagi orang makan, pahala dapat lebih (tazkirah lagi). Lepas masak aku tak biaq, aku makan paling banyak. Muahahahaha. Itik aku. Time tu tak pikiaq pahala dah. Aku paling sedih, aku paling banyak makan. Mak ayah aku kata amboi, tera sedih tu pun makan paling banyak. Hahaha.

Tu la itik aku pertama dan terakhir. Lepas tu dah tak boleh bela itik dah, busuk ngan tak dak tempat nak bela ngan tak dak sapa nak bagi makan. Tiap-tiap kali cuti aku mintak kat mak ayah aku nak bela itik, tapi tak dapat. Hahaha. Time praktikal dulu pun pernah mintak nak bela, tak dapat jugak . Hehe. Tak pa la, nanti habih belajaq bro cuba lagi. Hahahahaha.

P/s: saja throwback kekasih lama yang bergelar itik. Tersenyum aku bila teringat itik ni. Keajaiban dunia ke-8 ialah itik. Sebab apa? Sebab banjir la tera mana pun, ayaq takat dada dia ja. Hahahaha.

Sory post merapu, saja mengulit kenangan yang diharap dapat diulang. Huhu.



*Gambar hanya sekadar hiasan, gambar time form 5.

Thursday, 6 October 2016

CINTAKU ENCIK GRASSHOPPER

Hmmm. Mesti terfikir. Apa yang aku nak cerita ni? Pasal drama melayukah? Seperti Suamiku seekor katak pisang? Isterimu tertelan putik kapas? Atau Cintaku berbasikal ke sekolah?

Jangan risau teman-teman. Aku malas nak ulas pasal drama melayu kat TV sekarang. Apa guna bahaskan pasal drama melayu di kaca-kaca tv andai para pengarah masih buat tak tahu? Apa guna kita menonton drama melayu di kaca-kaca tv yang tidak mencambah minda dan merosakkan fikiran? Tak boleh pakai drama melayu sekarang.

Ahhh. Abaikan semua tu. Aku nak sembang pasal filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.  Aku tertarik dengan filem beliau yang berjudul “Nujum Pak Belalang”. Banyak yang kita boleh faham dan hadam daripada filem tersebut baik dari aspek nasihat kepada masyarakat Melayu, perlian halus buat kita muhasabah dan sebagainya.

Sebelum mulakan apa-apa, tulisan ini hanya sekadar pandangan peribadi dan andai terdapat salah dan silap mohon diperbetul.

Baiklah, kita mulakan dengan nama Pak Belalang. Aku kira Tan Sri P. Ramlee seorang yang sangat bijak memilih nama untuk sesuatu watak. Nama Pak Belalang  amat sesuai dengan karakter Pak Belalang. Sikapnya yang tidak tetap, dan suka melarikan diri dari masalah boleh disifatkan seperti belalang yang sentiasa melompat dari rumput ke rumput untuk menyelamatkan diri.

Kita lihat, Tan Sri P. Ramlee menunjukkan masyarakat kita yang mempercayai perkara-perkara mengarut seperti ahli nujum dan tilik nasib. Dan Islam sendiri melarang kita mempercayai perkara-perkara sebegini.

Kita juga lihat, watak manusia yang sering menipu. Dalam filem ni, Tan Sri P. Ramlee meenunjukkan bahawa banyak manusia hidup dalam keadaan menipu. Kita boleh melihat dalam watak Pak Belalang dan anaknya Belalang. Mereka hidup dengan menipu. Dan hasil menipu Pak Belalang diberi jawatan Ahli Nujum Negara. Berapa ramai masyarakat kita hidup dalam keadaan menipu? Ramai. Jadi P. Ramlee memerli mereka yang hidup dengan penipuan melalui filem ini. Masyarakat yang penuh dengan penipuan. Masyarakat yang menipu untuk mendapat nama dan jawatan besar. Dan tak lupa, orang yang berjawatan besar juga menipu. Penipu!!!!

P Ramlee juga memaparkan watak seorang pemerintah yang bodoh dan dungu. Pemerintah tersebut dengan mudah ditipu oleh rakyat. Sebagai contoh, dia tidak mengetahui apa itu “pukau” sehingga mengatakan “pukau” itu sejenis senjata seperti pistol. Dia juga ditipu oleh Pak Belalang mengatakan penyakit “angau” amat berbahaya. Dan jelas di situ dia tidak mengetahui apa itu “angau”. Dasar pemerintah tak romantik. Dasar tak pernah bercinta. Hahahahaha.

Pemerintah tersebut juga sangat mementingkan diri kerana dia sanggup menggadai dan memperjudikan negara hanya untuk berbalas dan bertarung teka-teki dengan Sultan Masai. P. Ramlee memerli pemerintah seperti ini. Dia seolah-olah dapat membaca apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Keadaan ini dapat kita lihat zaman sekarang. Malas nak ulas la kan. Pakat baca sendiri isu-isu semasa di internet dan surat khabar. Hahaha.


Setakat ni ja la kita sembang. Nanti kita sambung lagi. Maaf sebab tajuk tak kena dengan isi. Saja nak bagi orang tertarik untuk baca. Haha. Walaupun tak menarik. Sumimasen. Assalamualaikum.

Thursday, 19 May 2016

KITA MANUSIA BUKAN TUHAN



Hidup ini umpama layang-layang,
Engkau rasakan akan bebas jika tiada tali,
Tanpa tali,
Engkau akan jatuh menghempap daratan,
Engkau tersangkut di celahan dahan,
Engkau tersesat di tengah jalan.


Engkau tidak sedar,
Dengan adanya tali,
Engkau bisa terbang,
Engkau mampu menggapai awan,
Engkau dapat melihat alam buatan Tuhan.

Kita manusia punya kesalahan,
Punya waktu kembali ke pangkuan,
Ingin bebas dari segala kejian,
Kita hanya manusia berjalan,
Kita hanya makhluk di celahan jalan,
Jangan cuba menjadi Tuhan.


Kita manusia bukan Tuhan.